23 April 2017 - 15:03
Israel Serang Kem Tentera Syria, 3 Anggota Tentera Terbunuh

Tiga orang anggota tentera Syria telah terbunuh di dalam sebuah serangan Israel ke atas sebuah kem tentera yang terletak di bandar Quneitra, kata seorang pegawai tentera.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tiga orang anggota tentera Syria terbunuh di dalam sebuah serangan Israel ke atas sebuah kem tentera yang terletak di bandar Quneitra, kata seorang pegawai tentera.

Serangan yang menyasarkan kem al-Fawwar pada hari Ahad itu turut mencederakan dua anggota tentera yang lain, kata seorang pegawai tentera kepada agensi berita Perancis, AFP.

Tidak jelas sama ada serangan itu dilancarkan melalui udara ataupun darat. Serangan itu dilancarkan selepas rejim Israel menyasarkan kedudukan tentera Syria di wilayah Qunietra pada hari Jumaat yang lepas.

Seorang sumber daripada tentera Syria turut memaklumkan agensi berita SANA bahawa tindakan kekerasan Israel itu dibuat selepas percubaan pengganas untuk mengambil alih kedudukan tentera di Quneitra dipatahkan oleh tentera kerajaan sekaligus menyebabkan para penyerang mengalami kerugian yang besar.

Rejim Israel mengesahkan serangan itu di dalam sebuah kenyataan sambil mendakwa bahawa tindakan itu diambil selepas tiga buah peluru mortar yang dilancarkan dari Syria mengenai sebuah kawasan terbuka di wilayah Tebing Barat yang dijajahinya.

Rejim Tel Aviv kerap menyasarkan kedudukan tentera Syria di Tebing Golan sambil mendakwa bahawa serangan itu dilancarkan sebagai balasan terhadap tindakan provokasi ke atas mereka. Kerajaan Syria pula mengatakan bahawa serangan itu dilancarkan untuk membantu militan Takfiri yang memerangi tenteranya.

Tentera Syria sebelum ini turut berjaya merampas senjata buatan Israel daripada pengganas yang menentang kerajaan Damsyik. Di samping itu, terdapat juga laporan yang menunjukkan bahawa Israel memberikan bantuan perubatan kepada militan yang cedera di Syria.

Rejim Zionis menduduki Tebing Golan sejak Perang Tujuh Hari yang tercetus pada tahun 1967 dan mereka mengilhakan wilayah itu pada tahun 1981. Masyarakat antarabangsa walau bagaimanapun masih belum mengiktiraf proses pengilhakan rejim tersebut.

/315